Friday, August 8, 2008

Kenyataan Akhbar Mengenai Bantahan Terhadap Forum Anjuran Majlis Peguam


Kenyataan Akhbar Jaringan Siswazah Malaysia (JASA) berkaitan penganjuran Forum bertajuk “Conversion to Islam: Article 121 (1A) of the Federal Constitution, Subashini and Shamala Revisited” oleh Majlis Peguam

Diberitakan pada 9 Ogos 2008, Majlis Peguam Malaysia akan menganjurkan forum bertajuk “Conversion to Islam: Article 121 (1A) of the Federal Constitution, Subashini and Shamala Revisited” bertempat di Ibupejabat Majlis Peguam di Kuala Lumpur. Dilaporkan bahawa forum tersebut akan membincangkan isu-isu kekeluargaan yang berkaitan dengan pemelukan agama Islam yang dikatakan telah banyak menimbulkan konflik dan permasalahan akibat daripada konflik bidang kuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Misalnya apabila salah seorang daripada pasangan yang bukan Islam memeluk Islam tanpa pengetahuan pasangan yang satu lagi, maka pelbagai isu perundangan telah timbul di mana pada ketika itu pasangan yang telah memeluk Islam pasti akan memilih Mahkamah Syariah manakala pasangan yang bukan Islam akan memilih Mahkamah Sivil bagi menyelesaikan kes-kes yang berbangkit. Kes-kes yang berbangkit selepas memeluk Islam ialah berkaitan perceraian, penjagaan anak, pembahagian harta dan sebagainya.

Forum tersebut adalah sesuatu yang baik sekiranya ia dibuat dengan berlandaskan disiplin ilmu yang sempurna. Namun, isu yang akan dibincangkan kelak di dalam forum ini iaitu kesan pemisahan bidang kuasa di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah di Malaysia melalui Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan terhadap kekeluargaan, sedikit sebanyak akan melibatkan persoalan jurisprudens Islam dan hukum Fiqh Islam. Oleh itu, Majlis Peguam seharusnya faham bahawa adalah sesuatu yang tidak adil untuk membiarkan pihak yang tidak mahir tentang disiplin ilmu dan hal ehwal agama Islam untuk membincangkan perkara-perkara yang ada kaitan dengan agama Islam dan umat Islam di negara ini.

Sekali lagi, Majlis Peguam juga harus menginsafi bahawa isu-isu yang hendak dibincangkan di dalam forum ini kelak tidak terhad kepada persoalan undang-undang sivil dan hak asasi manusia sahaja, ia juga turut melibatkan perundangan Islam. Oleh itu, Majlis Peguam sendiri harus menilai tentang kredibiliti Majlis Peguam untuk menganjurkan forum sebegini untuk berbahas isu-isu berkenaan Agama Islam. Tambahan pula, kes yang dibincangkan di dalam forum ini serta kes-kes lain yang akan dibangkitkan telahpun selesai dan tidak ada gunanya dibangkitkan lagi pelbagai ketidakpuasan hati mereka yang terlibat melalui forum seperti ini.

Walaupun kebebasan bersuara diikitiraf di negara ini, namun adalah dibimbangi penganjuran forum tersebut hanya akan menyebabkan timbulnya keadaan tidak harmoni dalam masyarakat jika ia tidak dapat dikawal. Majlis Peguam seharusnya menghormati umat Islam di negara ini dengan tidak menyentuh secara terbuka terhadap ajaran-ajaran yang telah ditentukan termaktub dalam agama Islam. Selain itu, isu-isu yang menyentuh tentang sistem perundangan Islam dan pihak autoriti agama Islam adalah sesuatu yang sangat sensitif di negara ini terutamanya jika ia dibincangkan secara terbuka. Kami menghormati kebebasan bersuara, namun menggunakan alasan hak kebebasan bersuara untuk menjustifikasikan tindakan yang boleh melukakan hati majoriti umat Islam di negara ini adalah sesuatu yang sangat tidak dialu-alukan.

Kecenderungan Majlis Peguam akhir-akhir ini untuk menganjurkan pelbagai diskusi dan forum berkenaan agama terutama yang menyentuh agama Islam menimbulkan persoalan tentang hala tuju dan bidang tugas Majlis Peguam. Ia juga menimbulkan persoalan tentang justifikasi yang digunapakai oleh Majlis Peguam di dalam menentukan keutamaan isu apakah yang hendak diperjuangkan. Tambahan pula di dalam negara Malaysia yang berbilang kaum dan sarat dengan pelbagai kekecohan politik, ekonomi dan sosial, peranan Majlis Peguam di dalam menganjurkan diskusi berkenaan isu-isu sebegini tidak banyak membantu di dalam menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat bahkan semakin merumitkannya.

Sebagai akhirnya, adalah lebih baik Majlis Peguam membatalkan sahaja forum tersebut kerana ia hanya akan menimbulkan kemarahan umat Islam yang dibimbangi akan menjejaskan keharmonian di negara ini.

Sekian.
Muhammad Ashraf Bin Mohd Daud,
Pengerusi Jaringan Siswazah Malaysia (JASA),
No 30, Jalan 3/15, Bangi Perdana,
43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

(Jaringan Siswazah Malaysia (JASA) adalah merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan graduan-graduan Muslim daripada UKM.)

No comments: